EKSPRESI11

Blog Kewartawanan

BINCANGKAN PERANAN WARTAWAN DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

Asrizal bin Aris

201187

Chew Jing Yi

204239

Chong Hwee Ting

204518

Chew Chee Yan

204532

Theren Voo @ Therenes Voo

204829

 

 

 

1.0           Pengenalan

 

Kebiasaannya, golongan wartawan dilihat sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat melalui pelbagai saluran media. Namun, golongan ini merupakan golongan profesional yang peranannya juga adalah untuk mempengaruhi pandangan atau sikap masyarakat melalui laporan dan tulisan. Oleh itu, peranan wartawan adalah penting dalam pembangunan sesebuah negara.

Wartawan merupakan nadi dalam dunia komunikasi dan media massa. Kepesatan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (Information and Communication Technology, ICT) membolehkan pengaliran maklumat dalam dunia tanpa sempadan, meletakkan peranan pembekal maklumat seperti golongan wartawan semakin kritikal. Sesungguhnya, kepesatan perkembangan media baru yang dibawa oleh Internet memerlukan tenaga wartawan yang terlatih bukan sahaja dari segi teori, prinsip dan falsafah tetapi juga celik ilmu, budaya, politik dan teknologi.

Sebagai pengenalan, dalam penulisan ini, kami akan membincangkan tentang peranan wartawan secara umum dahulu untuk pemahamam asas. Kemudian, kami akan membincangkan peranan wartawan dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan pendidikan dalam sub-sub topik yang berlainan.

Tugas pertama seorang wartawan adalah membentuk dan menyalurkan maklumat kepada masyarakat. Seseorang wartawan yang prihatin dapat membezakan apa yang boleh dikategorikan sebagai berita atau tidak. Berita yang baik merupakan pelaporan tentang sesuatu kejadian, idea atau keadaan yang membantu orang ramai menangani cabaran dalam hidup dan persekitaran mereka. Ini membuktikan bahawa wartawan bukan sahaja melaporkan sesuatu berita itu semata-mata, namun seorang wartawan harus membuat analisis terlebih dahulu mengenai sesuatu topik atau isu yang menjadi tumpuan orang ramai. Kewartawanan ini lebih dikenali dalam terma Bahasa Inggeris iaitu “investigative journalism.”

Selain itu, wartawan juga bertindak sebagai seorang pencetus idea, pemerhati dan pemikir. Wartawan yang sering membuat analisis tentang sesuatu topik yang mempunyai kepentingan terhadap masyarakat secara umum dapat membantu dalam meningkatkan tahap pembangunan negara. Maklumat yang disampaikan harus dilaporkan dengan tepat dan tidak memihak kepada mana-mana pihak serta pelaporan itu harus mengikut etika kewartawanan supaya kewibawaan dan kredibiliti seseorang wartawan itu tidak dicanggah. Wartawan dapat membantu dalam meningkatkan tahap pembangunan negara dengan melaporkan aktiviti pembangunan atau dasar kerajaan yang dijalankan. Dengan itu, masyarakat akan lebih jelas tentang keadaan semasa pembangunan negara melalui maklumat yang disalurkan. Tanpa maklumat tersebut, masyarakat dan negara tidak akan dapat bergerak ke arah mencapai matlamat dan wawasan.

Wartawan juga berperanan sebagai pendidik. Maklumat dalam bentuk yang disebarkan oleh wartawan bukan sekadar maklumat biasa tetapi mengandungi pelbagai maklumat mengenai pelbagai subjek dari yang umum kepada yang khusus serta spesifik yang mampu meningkatkan ilmu dan membuka minda masyarakat. Masyarakat dapat mengambil peluang ini untuk meningkatkan tahap pengetahuan mereka melalui informasi yang disampaikan oleh wartawan. Contohnya, informasi yang berkaitan dengan dunia ICT yang moden dapat meningkatkan tahap pengenalan mereka terhadap teknologi yang canggih ini. Ini juga boleh mengurangkan jurang pemikiran masyarakat di bandar dan luar bandar. Justeru, Malaysia berpeluang bergerak ke arah pemodenan dengan masyarakat yang lebih terdidik.

Sesungguhnya, wartawan memikul tanggungjawab sosial yang begitu berat. Ini adalah kerana sesuatu maklumat yang disampaikan kepada masyarakat mampu mencorak pemikiran mereka iaitu membentuk fikiran yang positif atau negatif, di samping memaju atau memundurkan individu, masyarakat, organisasi atau negara. Erti kata lain, masyarakat dididik untuk berfikiran secara kritis dan terbuka. Ini adalah kerana sebagai seorang wartawan, maklumat yang disampaikan harus menimbulkan persoalan yang boleh dibincangkan bersama.

Setelah membincangkan serba sedikit tentang peranan wartawan secara umum, kami dapat simpulkan bahawa pelaporan atau penulisan seseorang wartawan itu sememangnya mampu menyampaikan maklumat, mendidik, membuka minda dan mencorak pemikiran masyarakat ke arah pembangunan negara yang lebih baik. Kemudian, kami akan bincangkan peranan wartawan dalam bidang-bidang yang telah disebutkan awal tadi dengan lebih lanjut beserta contoh-contoh yang relevan.

 

2.0           Peranan Wartawan dalam Bidang Politik

 

Demi membangunkan negara, wartawan juga memainkan peranan yang penting. Wartawan dapat menimbulkan kesedaran masyarakat terhadap isu politik. Apa sahaja berita yang berkaitan dengan politik dilaporkan oleh wartawan akan merangsang pemikiran masyarakat sekiranya cara penyampaian itu menarik. Dalam hal ini, nilai berita yang berkenaan dengan isu politik merupakan faktor yang akan merangsang pemikiran masyarakat. Hal ini adalah kerana maksud yang ingin disampaikan oleh wartawan kepada pembaca biasanya adalah membina dan memerlukan pembaca untuk berfikir sendiri.

Contohnya, dalam pelaporan berita tentang Perhimpunan Agung UMNO yang telah berlangsung pada 27 November 2012 hingga 1 Disember 2012, isu undian untuk pilihan raya umum ke-13 juga telah dipaparkan.  Kebaikan dan keburukan calon-calon telah dianalisis dan dilaporkan. Penganalisian ini memang akan merangsangkan pemikiran masyarakat supaya mempertimbangkan dengan rasional semasa membuat undian. Secara tidak langsung, ini dapat menimbulkan kesedaran masyarakat terhadap isu politik dimana betapa pentingnya politik dalam usaha untuk membangunkan negara.

Tanpa wartawan, masyarakat memang sukar untuk mendapatkan maklumat yang terkini. Dalam akhbar, biasanya isu politik banyak dilaporkan kerana ia mempunyai kesan yang sangat besar terhadap pentadbiran negara. Oleh itu, peranan wartawan juga dapat membantu masyarakat untuk mengemaskini keadaan politik dari semasa ke semasa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa wartawan dapat membantu menjaga kestabilan politik negara.

Apa yang dilaporkan oleh wartawan dalam suratkhabar adalah berita benar dan juga memotivasikan pembaca untuk mempunyai pemikiran yang positif. Melalui wartawan, masyarakat pada setiap hari mahupun setiap masa boleh mendapatkan maklumat atau berita yang terkini tentang politik. Hal ini dapat menambahkan pengetahuan am masyarakat supaya selalu mengetahui keadaan politik dari masa ke masa. Keprihatinan masyarakat terhadap isu politik dapat memberi kesan yang besar terhadap pembangunan negara.

Tambahan pula, wartawan juga merupakan pengantara antara kerajaan dengan masyarakat. Berita yang dilaporkan bukan sahaja dibaca oleh masyarakat, begitu juga dibaca oleh kerajaan atau pemimpin negara. Di samping memaparkan berita tentang isu politik, isu-isu yang berlaku di kalangan masyarakat juga akan dipaparkan dalam suratkhabar. Oleh yang demikian, kerajaan atau pemimpin dapat mendengar suara hati atau buah fikiran masyarakat terhadap sebarang isu yang berlaku. Hal ini dapat memperbaik pentadbiran negara dan seterusnya membangunkan negara.

 

3.0           Peranan Wartawan dalam Bidang Ekonomi

 

Wartawan juga merupakan nadi dalam dunia komunikasi pembangunan ekonomi negara. Mulai dekad 1970-an, negara mulai menempuh dimensi baru dalam pembangunan ekonomi dengan pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tumpuan masyarakat beralih kepada aspek-aspek yang lebih abstrak seperti masalah kredit, pemasaran, penglibatan dalam perniagaan, penghijrahan ke kawasan baru, pelaburan serta pembangunan diri individu yang menjadi objek pembangunan ekonomi itu sendiri.

Pendekatan pembangunan yang baru itu semuanya bermula dari wartawan yang memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat pembangunan dan perancangan ekonomi negara kepada masyarakat untuk turut serta dan menjayakan misi negara untuk pembangunan ekonomi. Penekanan terhadap peranan wartawan sebagai “kuasa pengganda” dalam pembangunan ekonomi negara adalah bersesuaian dengan konsep pembangunan ketika itu kerana wartawan berperanan mengubah konsep masyarakat untuk memberikan tumpuan kepada kemewahan material seperti pendapatan per kapita. Pembangunan konsep masyarakat dianggap sebagai pertumbuhan ekonomi yang pesat yang berlaku dari atas ke bawah apabila ada pemusatan dalam perancangan dan pengawalan ekonomi yang menekankan industrialisasi, modenisasi dan urbanisasi. Wartawan ditugaskan mengubah konsep masyarakat untuk  mencetuskan pengetahuan dan pemikiran masyarakat supaya menjayakan perancangan pembangunan ekonomi negara.

Dari segi sosio-ekonomi, wartawan banyak menampakkan usaha perancangan yang dijalankan oleh kerajaan antaranya adalah Dasar Ekonomi Baru. Maklumat mengenai perancangan tersebut disalurkan kepada masyarakat melalui penulisan wartawan dari suratkhabar serta risalah. Wartawan menyebarkan matlamat DEB untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional dan membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan seterusnya memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi negara. Wartawan bukan sahaja menyampaikan maklumat berkenaan malah wartawan juga turut memapar serta mengiklankan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat tanpa mengira kaum. Hal ini telah berjaya menarik masyarakat untuk membantu membangunkan ekonomi negara selain menghindarkan cetusan perbalahan antara kaum.

Selain itu, wartawan juga bertanggungjawab melaporkan kandungan penting dalam Pembentangan Bajet 2013 Malaysia kepada rakyat. Usaha kerajaan dalam merangka perbelanjaan negara tahun hadapan adalah perkara yang ditunggu-tunggu oleh rakyat. Wartawan merupakan orang tengah yang melaporkan hasil pembentangan tersebut dan sentiasa mengemas kini laporan Pembentangan Bajet serta isu-isu berbangkit dari masa ke semasa. Peranan wartawan dalam pembangunan ekonomi negara jelas dilihat melalui usaha mereka menyampaikan maklumat penting negara kepada rakyat secara langsung.

Wartawan juga bekerja keras dalam mengeratkan persepakatan serta hubungan baik negara dengan negara luar dalam kerjasama ekonomi. Malaysia akan menjadi tuan rumah dalam Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020. Mesyuarat tersebut disertai oleh kumpulan wartawan yang akan menyampaikan maklumat keputusan mesyuarat ini secara terus kepada masyarakat di Malaysia. Wartawan juga mengolah maklumat mengenai persetujuan dan kerjasama yang baik dari negara-negara lain bagi membina hubungan yang akrab. Perdana Menteri Malaysia juga turut mengadakan taklimat kepada wartawan tempatan untuk menyesuaikan penyampaian maklumat kepada rakyat. Beliau menambah bahawa wartawan perlu lebih giat dalam mempromosikan Malaysia sebagai negara ekonomi membangun seperti yang dinyatakan oleh Presiden Britain, David Cameroon. Hal ini mampu membina hubungan baik Malaysia dengan negara serantau terutama dalam meningkatkan pembangunan ekonomi negara.

Industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting dalam menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Mengikut bajet 2013 yang dibentangkan dalam perkara 28, kerajaan merancang untuk merancakkan sektor pelancongan negara. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, kerajaan menyarankan pihak media usaha lebih giat dalam mempromosikan Malaysia sebagai lokasi pelancongan dunia yang menjadi tarikan. Wartawan berperanan mendapatkan maklumat serta memperkemaskan penyampaian untuk menjalankan publisiti hingga ke luar negara untuk memperkenalkan negara sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

 

4.0           Peranan Wartawan dalam Bidang Sosial

 

Wartawan mempunyai tanggungjawab dalam usaha mengekalkan perpaduan, keamanan serta kedamaian dalam negara Malaysia. Hal ini adalah kerana, golongan wartawan merupakan golongan masyarakat yang mempunyai kuasa dalam  mencorak pemikiran serta mempengaruhi orang ramai melalui laporan dan penulisan mereka. Sebagai golongan yang berpengaruh, mereka mempunyai tanggungjawab sosial dalam mengekalkan serta menjaga keharmonian negara. Menjaga perpaduan dalam kalangan lapisan masyarakat adalah penting, lebih-lebih lagi dalam negara yang bermasyarakat majmuk yang sedang dalam perjalanan untuk menjadi sebuah negara maju. Kejadian rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 haruslah dijadikan iktibar kepada para wartawan bahawa mereka sememangnya mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pemikiran orang ramai haruslah diambil serius. Pelaporan berita yang berbau sensitif haruslah dielakkan agar perpaduan negara terjaga. Pokoknya, kunci kepada perpaduan serta keharmonian negara adalah ditangan golongan wartawan.

Selain daripada itu, wartawan juga memainkan peranan yang penting dalam menjadi agen perubahan sosial negara. Hampir 60% pembangunan negara dalam bidang sosial bergantung pada golongan wartawan tanah air. Golongan wartawan amat dipandang tinggi dari segi pemikiran kritis mereka yang mampu menghasilkan penulisan yang menyerapkan pengetahuan serta pendapat yang bernas untuk difikirkan sebagai mengorak langkah ke arah kemajuan. Datuk A Kadir Jasin yang merupakan Pengarah Berita Publishing pernah menyatakan bahawa “bidang kewartawanan adalah falsafah pemikiran dan bukan hanya satu bentuk penulisan dan sepatutnya menjadi bidang pengajian dan amalan.”  Ini bermaksud, terdapat nilai serta aspek yang boleh diterapkan melalui kewartawan sebagai bidang yang mampu mendidik masyarakat seterusnya memacu negara kearah pemodenan dan pembangunan negara.

Peranan wartawanan juga amat penting sebagai satu saluran yang bertanggungjawab dalam menyampaikan segala maklumat yang betul dan sahih tentang situasi pembangunan negara kepada pihak masyarakat. Setiap informasi dan  maklumat tentang rancangan pembangunan kerajaan merupakan tanggungjawab wartawan untuk meyampaikannya kepada rakyat. Rakyat memerlukan wartawan untuk mendapatkan maklumat atas setiap perubahan yang berlaku dalam pembangunan negara, maklumat ini termasuklah dari segi keselamatan negara. Memang benar bahawa pihak polis yang menjaga keselamatan negara dari segi mengawal jenayah, namun wartawanlah merupakan pelindung sebenar rakyat dengan memberi amaran kepada mereka untuk berjaga-jaga agar keselamatan mereka sentiasa terjamin.

 

5.0           Peranan Wartawan dalam Bidang Pendidikan

 

Golongan wartawan memainkan peranan yang penting dalam mendidik dan menambahkan ilmu pengetahuan setiap lapisan masyarakat. Mereka menyiarkan berita, pandangan dan maklumat yang berkaitan dengan isu-isu semasa, kesihatan, teknologi moden dan juga pengetahuan akademik tambahan. Penyaluran informasi tersebut dapat meningkatkan tahap pendidikan masyarakat secara tidak formal kerana mereka diberi peluang untuk mendapatkan maklumat yang penting, benar dan berfaedah sepanjang hayat.

Wartawan melaporkan berita isu semasa dalam dan luar negara melalui pelbagai saluran dapat meningkatkan tahap pengetahuan masyarakat terutamanya generasi muda dari segi pengetahuan am. Majoriti generasi muda kini kurang pengetahuan am kerana kekurangan tabiat membaca suratkhabar. Pengetahuan am amat diperlukan oleh masyarakat. Ini adalah kerana, masyarakat yang menguasai pengetahuan am yang luas barulah dapat berfikir dengan lebih matang. Contohnya, wartawan melaporkan berita isu semasa melalui suratkhabar dan saluran televisyen seperti Astro Awani. Saluran Awani merupakan satu saluran yang berlangsung 24 jam untuk melaporkan berita dalam dan luar negara serta pelbagai maklumat penting. Jadi, wartawan berperanan dalam menyalurkan maklumat sepanjang 24 jam supaya dapat mengutarakan pandangan generasi muda terhadap pelbagai isu semasa yang mendapat perhatian dalam dan luar negara ke arah revolusi minda kelas pertama.

Selain itu, wartawan juga berperanan menyalurkan informasi berkaitan kesihatan melalui surat khabar seperti New Strait Times, myMetro, Berita Harian dan sebagainya. Informasi tersebut akan dinyalurkan dalam helaian berkaitan dengan kesihatan. Pengetahuan kesihatan yang luas amat penting dan diperlukan untuk meningkatkan tahap kesihatan masyarakat sepanjang hayat. Menurut Nadia Badarudin dalam penulisannya bertajuk “Enemy of the lungs” dalam New Straits Times di bahagian Health pada 20 November 2012, telah meyiarkan maklumat yang berkaitan dengan penyakit pneumonia dan juga cara untuk mengelakkannya. Ini bermakna sumbangan pelaporan wartawan telah membantu dalam meningkatkan tahap pengetahuan masyarakat dari segi kesihatan.

Wartawan juga berperanan memaparkan maklumat teknologi yang canggih dan terkini supaya dapat memastikan minda masyarakat terutamanya golongan luar bandar tidak mundur berbanding dengan negara lain. Ini juga dapat mengurangkan jurang pengetahuan dan pemikiran golongan bandar dan luar bandar. Negara yang sedang membangun amat memerlukan masyarakat yang berpengetahuan luas terhadap ICT. Jadi, sumbangan wartwan amat dihargai kerana mereka sentiasa mengemaskini informasi teknologi yang terkini kepada masyarakat. Dalam pelaporan Izwan Ismail bertajuk “Park and charge” dalam akhbar New Straits Times di bahagian Life & Times – Tech pada 26 November 2012 telah melaporkan satu berita tentang stesen pengisian kepada kereta elektrik pada masa depan telah dicipta oleh sekumpulan pencipta tempatan. Majoriti masyarakat tidak akan tahu tentang ciptaan yang canggih ini kalau tanpa sumbangan pelaporan wartawan. Jadi, penyaluran maklumat teknologi moden ini dapat memastikan masyarakat mengikut langkah kehidupan yang moden  ini supaya dapat bersaing dengan negara luar.

Selain itu, wartawan juga berperanan untuk menyiarkan ilmu tambahan kepada pelajar bagi membantu mereka mendapatkan lebih pengetahuan luar dari pendidikan formal. Contohnya, saluran suratkhabar seperti Berita Harian mempunyai subtopik yang memaparkan maklumat yang fokus kepada pelajar iaitu Skor dan juga School Times dalam New Straits Times. Skor bagi Berita Harian biasanya akan memaparkan berita, masalah remaja, kerjaya seseorang dan juga pengetahuan akademik tambahan yang boleh membangkitkan semangat pelajar untuk menjadikan diri mereka seorang yang berilmu, bermoral dan berusaha untuk mencapai keputusan yang baik. Contoh seperti cadangan jawapan peperiksaan percubaan merupakan satu sumber yang fokus kepada pengajaran pelajar SPM supaya dapat membantu mereka dalam menjawab soalan SPM. Sumbangan wartawan menyalurkan maklumat tersebut menjadi ilmu tambahan kepada pelajar di luar sekolah. Tujuannya adalah untuk membantu pelajar mendapatkan skor yang cemerlang dalam peperiksaan.

Sumbangan wartawan dalam meningkatkan tahap pendidikan masyarakat dari segi isu-isu semasa, maklumat kesihatan, teknologi moden dan pengetahuan tambahan juga tidak dapat dinafikan. Masyarakat yang berilmu luas dari pelbagai aspek amat diperlukan untuk membantu dalam proses pembangunan negara dan bersaing dengan negara lain. Ini adalah kerana, sesebuah negara hanya dapat dibangunkan sekiranya setiap lapisan masyarakatnya mempunyai minda kelas pertama dan dapat berfikir secara matang.

 

6.0           Kesimpulan

 

Setelah membincangkan peranan wartawan dengan lebih spesifik dalam bidang-bidang tertentu, kami dapat simpulkan bahawa peranan wartawan adalah penting dalam pembangunan negara. Pertama sekali, wartawan akan membuat analisis terhadap sesuatu isu yang mempunyai nilai kepentingan terhadapa masyarakat dan negara. Kemudian, wartawan akan melaporkan yang benar. Setelah itu, ini merangsang minda masyarakat untuk berfikir. Seterusnya, masyarakat akan mula mempunyai pandangan mereka sendiri dan boleh berkongsikannya bersama melalui maklumbalas kepada pelaporan wartawan seperti dalam kolum khas suara rakyat dalam akhbar-akhbar. Ini menjadi platform pertukaran idea demi pembangunan negara yang lebih mampan. Kerajaan pula boleh mengambil berat terhadap permintaan rakyat melalui saluran seperti.

Selain itu, pelaporan wartawan juga haruslah benar dari semasa ke semasa tidak kira jika berita itu positif atau negatif. Ini adalah kerana dengan berita negatif yang tidak menimbulkan perselisihan antara mana-mana pihak harus dijadikan kritikan membina demi mencari jalan penyelesaian mahupun mengetahui masalah yang wujud dalam proses pembangunan negara. Oleh itu, peranan wartawan dalam pembangunan negara tidak boleh dipandang remeh jika negara ingin mencapai wawasannya.

 

 

RUJUKAN

 

Iryna Negreyeva & Revati Prasad. (2012). Developing Media Literacy by Teaching Citizens the Standards of Professional Journalism. Journal of Applied Journalism and Media Studies. Vol 1, No. 1, 33-53.

 

Summer-Autumn 1988. Development: Communication for Change (page 42-46). Canada: Canadian International Development Agency (CIDA).

 

Wartawan perlu kreatif jadi ejen pembangunan masyarakat. Diakses dari http://www.bharian.com.my/articles/Wartawanperlukreatifjadiejenpembangunanmasyarakat/Article/ pada 26 November, 2012.

 

 

 

 

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on December 14, 2012 by in Journalism Essay.
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: