EKSPRESI11

Blog Kewartawanan

Pusat Budaya dan Seni UUM latih seniman profesional

Disediakan oleh:
Asrizal Aris
Chew Jing Yi
Chong Hwee Ting
Chew Chee Yan
Therenes Voo

Golongan mahasiswa bukan sahaja perlu berilmu dan professional, malah perlu dilengkapkan dengan kemahiran berbentuk kebudayaan dan kesenian sebagai aset insaniah yang menjadi elemen penting di pasaran pekerjaan nanti. Kecemerlangan mahasiswa dalam bidang kebudayaan dan kesenian di universiti mampu lahirkan pemimpin dan penggerak yang berkesan dalam usaha membangunkan industri seni negara.

Masyarakat Malaysia sering kali mengaitkan kebudayaan dan kesenian sebagai suatu cabang hiburan. Namun, kedua-dua bidang ini sebenarnya mampu mengasah bakat yang terpendam dalam diri mahasiswa atau memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan lagi bakat mereka dalam bidang seni.

Melalui saluran seperti Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM), mahasiswa yang unggul dapat dilahirkan bukan sahaja cemerlang dari segi akademik malah dalam kegiatan luar kuliah. Pusat ini adalah bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti kebudayaan dan kesenian dalam kalangan mahasiswa di dalam dan di luar kampus sejak tahun 1999. Sebelum ini PBS dikenali sebagai Unit Budaya dan Seni (UBS) dan telah dinaik taraf pada 22 Februari 2003 menjadi Pusat Budaya dan Seni (PBS) serta berfungsi dalam menyediakan perkhidmatan kepada mahasiswa serta menyumbang kepada pembangunan sahsiah mereka.

PBS menyediakan perkhidmatan untuk para mahasiswa yang berbakat serta mempunyai minat yang tinggi dalam bidang seni seperti kelas teori muzik, kelas pengurusan pentas persembahan dan tarian, khidmat nasihat, bengkel pengurusan, latihan dan sebagainya yang berkaitan dengan bidang seni dan budaya. PBS turut menyediakan kemudahan yang kondusif untuk para mahasiswa seperti Galeri Seni, Laman Siswa, Dataran Budaya, Bilik Mesyuarat, Dewan Budi Siswa, Anjung Siswa dan Studio Muzik. Selain itu, PBS juga mewujudkan beberapa badan pelajar buat para mahasiswa untuk meningkatkan lagi ilmu dalam bidang masing-masing serta mewujudkan eko-sistem yang kondusif dalam kalangan pelajar yang mempunyai daya kretiviti yang tinggi. Antara badan pelajar yang diwujudkan ialah Kelab Bidasari, Kelab Muzik, Kelab Kewartawanan, Kelab Teater Warna, Kelab Pencipta Filem, Kelab Nasyid, Kelab Penyiaran, Kelab Seni Lukis, Kelab Pendita dan Estetika.

Galeri Seni, Pusat Budaya dan Seni, UUM

Melalui penglibatan dengan kelab dan persatuan seperti ini di PBS, mahasiswa akan didedahkan dengan teknik dan cara menganjurkan sesuatu majlis dengan baik. Mahasiswa akan mempunyai suatu kelebihan jika memiliki kemahiran penganjuran majlis dan akan menjadi nilai tambah dan peluang yang lebih cerah kepada mereka di pasaran pekerjaan nanti. Mahasiswa juga dapat memanfaatkan peluang yang ada untuk terus melakar kejayaan melalui pengisian masa di universiti dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti universiti misalnya melalui kerja amal bersama masyarakat kampus memberi peluang untuk mendalami budaya, adat resam dan sekaligus dapat menimba pengalaman berharga.

Selain itu, melalui program kebudayaan dan kesenian yang dijalankan di dalam dan di luar kampus, ia dapat meningkatkan semangat berdaya maju dalam kalangan mahasiswa serta bergiat lebih aktif. Malah, ia dapat mewujudkan hubungan yang lebih erat dan berkesan antara mahasiswa dan universiti sekaligus dapat menjalinkan persefahaman dan kerjasama antara pelbagai organisasi di dalam dan di luar kampus.

Faktor penggerak yang mampu menarik minat mahasiswa untuk menyertai aktiviti kebudayaan dan kesenian seperti ini adalah apabila UUM memartabatkan penggiat seni seramai 55 orang pelajar pada 11 Mac yang lalu yang bertempat di Dataran Budaya. Majlis Anugerah Seni UUM ini adalah sebagai pengiktirafan oleh UUM kepada mahasiswa yang bergiat aktif di dalam memperjuangkan pelbagai aktiviti yang sekaligus meningkatkan kemahiran insaniah diri mereka.

 

Mahasiswa UUM menonjolkan bakat tarian tradisional

Pada tahun ini, PBS telah menempa nama lebih dari 10 kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menerima beberapa anugerah khas dari UUM sendiri atas pencapaian PBS yang banyak membina pembangunan mahasiswa yang berseni bertaraf professional. Antaranya kejayaan badan pelajar Kelab Teater Warna Pusat Budaya dan Seni telah berjaya menjadi Naib Johan didalam Festival Teater MAKUM 2012 yang berlangsung di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya (UM) melalui teater bertajuk “Dejavu Seorang Perempuan” hasil karya Ismail Kassan.

Bagi anugerah pula, antaranya PBS berjaya membolot lima anugerah sempena Majlis Anugerah HEPA dan Gala Dinner anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM pada Julai 2012 bertempat di Holiday Villa Hotel, Alor Setar, Kedah. Antara anugerah yang berjaya dirangkul adalah Anugerah Bilik Pegawai Terbaik dan Anugerah Ketua Pusat Terbaik berjaya digondol oleh Pengarah PBS Huzaidy Haji Hussain. PBS juga turut membolot Anugerah Inovasi Terbaik yang diberikan kepada unit atau pusat yang memperkukuh pembudayaan kerja kreatif dan berinovasi bagi mencapai tahap yang lebih berkualiti.

Berdasarkan kejayaan yang banyak dirangkul oleh PBS, ia menunjukkan bahawa PBS telah berjaya mencapai misi untuk menerapkan nilai-nilai murni kepada mahasiswa dan seterusnya menghargai warisan kesenian negara. Dalam bulan September baru-baru ini, PBS mengisi pelbagai program yang mampu membina pembangunan semangat kecintaan terhadap seni warisan contohnya beberapa pertandingan yang berbentuk seni budaya klasik seperti pertandingan nyanyian lagu-lagu P.Ramlee, pertandingan lakonan semula babak Filem P.Ramlee, Sayembara Puisi Merdeka, Pertandingan nyanyian lagu-lagu Sudirman, Bengkel Tarian Zapin serta beberapa lagi program yang bertemakan seni dan budaya warisan melayu.

PBS juga berjaya memupuk satu eko-sistem yang kondusif berbentuk kebudayaan kebangsaan di dalam kampus serta memberi peluang kepada mahasiswa untuk membangunkan kreativiti mereka disamping mengembangkan bakat yang dimiliki. Hal ini jelas tergambar melalui kejayaan program khidmat masyarakat UUM iaitu Program Perkampungan Seni 2012 anjuran PBS dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Payong yang diadakan pada Jun yang lalu. Program ini meningkatkan daya kreativiti dan motivasi mereka dalam kegiatan kebudayaan dan kesenian yang berterusan. Selain itu, program ini adalah sebagai langkah dalam mengetengahkan pelajar dalam bidang seni dan budaya seterusnya memartabatkan khazanah seni negara. Antara program yang diatur ialah ceramah motivasi, Ziarah Kampus, aktiviti bersenam dan bersukan serta bengkel seni di mana setiap kumpulan akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut skop kesenian yang diminati.

Berdasarkan temu bual yang dijalankan bersama Encik Huzaidy Hj Hussain, Pengarah PBS, beliau memberi pendapat bahawa penyertaan mahasiswa dalam badan pelajar di bawah naungan PBS semakin menggalakkan. Hampir setiap tahun apabila bermula kemasukan mahasiswa baru, PBS menjadi tumpuan golongan ini untuk menimba ilmu dalam bidang pengacaraan majlis, pengurusan pentas, tarian dan pelbagai lagi perkhidmatan yang disediakan yang berbentuk kesenian dan kebudayaan. Pembangunan mahasiswa melalui kegiatan seperti ini meningkatkan keyakinan diri untuk lebih menonjol dalam kemahiran komunikasi yang lebih baik. Selain itu, mahasiswa dididik untuk menghargai kesenian dan kebudayaan yang terpelihara sejak dulu lagi namun semakin mundur dengan kehadiran pelbagai budaya dan seni barat yang banyak bercanggah dengan nilai-nilai yang diterapkan di Malaysia. Oleh itu, PBS merupakan sebuah pusat yang mampu melahirkan mahasiswa yang berpotensi untuk membina pembangunan kesenian dan kebudayaan kebangsaan untuk dimartabatkan.

Beliau menambah bahawa penyertaan mahasiswa di dalam badan pelajar di bawah naungan PBS mampu mengangkat nama seseorang mahasiswa yang betul-betul berbakat dan mempunyai minat yang sangat mendalam disamping menimba pengalaman yang sangat bermakna sepanjang berada di universiti. Kelebihan yang bakal diperolehi oleh mahasiswa apabila menyertai PBS adalah mampu menggerakkan karier mereka sebagai seorang yang berseni ke arah yang lebih professional serta memanfaatkan peluang dan kelebihan tersebut dalam bidang kerjaya kelak setelah mereka bergelar graduan lepasan ijazah.

 

En. Huzaidy Hj Hussain, Pengarah Pusat Budaya dan Seni, UUM

Sebagai seorang pengarah pusat yang membina pembangunan sahsiah mahasiswa dalam bidang kebudayaan dan kesenian, Encik Huzaidy mengharapkan penglibatan yang aktif dari kalangan mahasiswa untuk melatih masyarakat muda seperti mereka supaya mencintai kesenian dan budaya untuk dimartabatkan ke peringkat global. PBS juga menanam harapan untuk memperlengkapkan mahasiswa dengan kemahiran berbentuk kesenian dan kebudayaan ke arah memperkayakan penggiat seni tanah air.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on October 15, 2012 by in Development Issue.
%d bloggers like this: