EKSPRESI11

Blog Kewartawanan

KERAJAAN MENGGALAKKAN USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Oleh : Asrizal Aris (201187)

Menjelang tahun 2013, kerajaan menanam harapan untuk memperkenalkan Malaysia ke mata dunia menerusi industri pelancongan dan menggalakkan pelbagai pihak melaksanakan usaha memajukan industri tersebut. Hal ini merujuk bahawa industri pelancongan merupakan satu sektor pertumbuhan ekonomi penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK.

            Mengikut bajet 2013 yang dibentangkan dalam perkara 28, kerajaan merancang untuk merancakkan sektor pelancongan negara. Jumlah pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion ringgit pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, kerajaan menggalakkan usaha memajukan sektor pelancongan dan akan memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8 juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan selama 3 tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya 750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan setahun. Hal ini meningkatkan lagi usaha untuk memajukan industri pelancongan pada tahun hadapan.

            Kerajaan menyarankan langkah utama untuk meningkatkan sektor pelancongan Negara adalah menerusi memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan dan perhubungan di Malaysia sehingga menjadi prasarana kelas pertama terutamanya destinasi yang bakal menjadi tumpuan pelancong pada tahun 2013 nanti. Hal ini kerana pelancong yang berkunjung ke sesebuah Negara ingin keselesaan dan mencari ketenangan. Oleh itu, kerajaan memegang amanah untuk memperlengkapkan kemudahan pengangkutan dan komunikasi yang ada khususnya untuk memudahkan pelancong sampai ke destinasi yang dituju di Malaysia.

            Selain itu, kerajaan menggalakkan usaha untuk meningkatkan kemudahan penginapan yang lebih selesa seperti kualiti hotel, chalet, tandas, bekalan air dan elektrik turut menjadi faktor penting dalam menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. Penginapan yang selesa dan lengkap menyumbang dalam menentukan sama ada pelancong akan tinggal lama atau sebaliknya. Keselesaan dan kelengkapan mendorong pelancong tersebut untuk lebih gemarkan perkhidmatan pelancongan negara sekaligus melajukan lagi aliran masuk mata wang asing. Pembinaan hotel dan rumah penginapan yang tumbuh seperti cendawan tumbuh selepas hujan tidak kira di Bandar ataupun di desa seluruh negara membuktikan kesungguhan negara dalam usaha menggalakan kehadiran pelancong ke Malaysia. Penyediaan kemudahan penginapan harus juga diambil kira kadar sewa dan taraf sesebuah hotel yang dibina. Kemudahan penginapan yang tidak selesa dan tidak lengkap perlu diatasi kerana keselesaan pelancong asing perlu dititikberatkan agar industri pelancongan dapat dibangunkan menjelang tahun 2013.

            Berikutan hasrat kerajaan untuk melaksanakan Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, kerajaan merancang untuk mempelbagaikan aktiviti yang diadakan di Malaysia sebagai tuan rumah. Aktiviti seperti pameran kejohanan sukan bertaraf dunia termasuklah pameran Maritim dan Udara Langkawi (LIMA), Kejohanan Kereta Formula Satu, kejohanan Lumba Basikal Tour De Langkawi, Sukan Sea dan pelbagai kejohanan yang melibatkan kehadiran atlet, perwakilan dan secara tidak langsung pelancong yang datang ke Malaysia untuk menyokong serta memeriahkan lagi kejohanan. Sungguhpun begitu, kejohanan atau pameran besar seperti ini perlu dirancang dengan teliti agar dapat dijalankan sepanjang masa dengan promosi yang lengkap dan meluas. Penganjuran sukan bertaraf antarabangsa dapat memperkenalkan Negara ke mata dunia bukan sahaja mampu cemerlang dari segi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa malah megah dalam bidang pelancongan. Kesannya, para pelancong yang telah datang ke Malaysia akan menunggu musim mempromosi pelancongan seperti Tahun Melawat Malaysia 2013/2014 untuk melancong secara berterusan kerana Malaysia sudah menjadi salah sebuah destinasi pelancongan yang menarik.

            Bagi memastikan usaha menggalakkan sektor pelancongan terus dilaksanakan, kerajaan mempergiatkan promosi untuk merancakkan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Hal ini menjadi kesinambungan kepada usaha-usaha yang dilaksanakan pada awalnya. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, program-program kebudayaan dan kesenian serta karnival jualan besar-besaran boleh dilaksanakan dengan komitmen yang padu bukan hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Sebagai contoh, kementerian Pelancongan sendiri telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong Asia Barat seperti di Dubai dan Arab Saudi. Usaha memperkenalkan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarluaskan maklumat tentang pelancongan di Negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat yang tepat mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan dapat disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong. Hal ini juga mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati seterusnya merealisasikan bajet 2013 untuk merancakkan sektor pelancongan negara.

            Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen menyarankan agar tugas menarik pelancong harus menjadi tanggungjawab semua pihak dan tidak terletak di bahu kerajaan sahaja supaya industri pelancongan dapat dimajukan. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu juga menggalakkan setiap anak watan perlu merancang usaha-usaha yang pragmatik dan efektif perlu diambil untuk melihat industri ini merentasi benua dan dunia dalam usaha memperkenalkan Malaysia. Hal ini kerana berdasarkan jumlah pelancong yang semakin bertambah ke Negara ini sejak kebelakangan ini jelas menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Buktinya sepanjang tahun, Malaysia telah dikunjungi oleh 22 juta orang pelancong yang menyumbang pendapatan sebanyak RM48 bilion kepada negara. Dato, Sri menambah lagi menyatakan keunikan budaya rakyat yang berbilang kaum menjadi asset penting dalam usaha Negara menggamit kedatangan pelancong.

            Deduksinya, kerajaan menyeru agar rakyat Malaysia menggalakkan pelbagai usaha dan kempen untuk meneruskan dan mempergiatkan tarikan lebih banyak pelancong ke Malaysia. Rentetan sinergi daripada semua pihak sangat penting bagi memajukan industri pelancongan negara. Pihak kerajaan, pihak swasta, agensi pelancongan dan rakyat Malaysia sendiri perlu berganding bahu bagi meningkatkan martabat sektor pelancongan untuk mencapai matlamat dalam memajukan ekonomi Negara pada tahun hadapan dan merealisasikan harapan kerajaan melalui Bajet 2013 yang dibentangkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on December 2, 2012 by in Budget 2013.
%d bloggers like this: