EKSPRESI11

Blog Kewartawanan

PM UTAMAKAN BIDANG PENDIDIKAN NEGARA

OLEH : TAUFIK AMRI MOHD NOR

Pengumuman Bajet 2013 nampaknya mempunyai kaitan yang signifikan dalam usaha menjayakan transformasi pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Sektor pendidikan dijangka terus menerima peruntukan tertinggi dalam Belanjawan 2013 dalam usaha kerajaan mentransformasikan negara ke arah masyarakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mencapai hasrat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, bidang pendidikan akan terus menjadi keutamaan kerajaan terutamanya dengan usaha transformasi sistem pendidikan yang sedang diusahakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015.

Melalui Bajet 2013 ternyata peruntukan besar disediakan bagi melaksanakan tiga aspek penting iaitu untuk peningkatan kualiti pengajaran guru, melengkapkan infrastruktur sekolah dan memastikan keberkesanan pelaksanaan melalui pemantauan transformasi tersebut.

Apabila Bajet 2013 diumumkan pada 28 September lepas didapati sektor pendidikan terus mendapat peruntukan tinggi iaitu sebanyak RM38.7 bilion meliputi peruntukan mengurus dan pembangunan daripada jumlah keseluruhan bajet RM251.6 bilion.

Bajet 2013 memberi tumpuan bagi menjayakan transformasi pendidikan. Aspek pertama ialah meningkatkan kualiti pengajaran guru. Bagi tujuan tersebut disediakan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk membolehkan guru melaksanakan pengajaran melalui pendekatan kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran subjek-subjek teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Hakikatnya apabila murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu, mereka berupaya menganalisis maklumat, berfikir secara kritis dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah bentuk kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara maju. Sementara itu Anjakan Kedua menekankan setiap murid mahir dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Sesungguhnya penekanan kepada peningkatan kualiti guru melalui pendekatan tersebut dinyatakan dalam PPP 2013-2025 dengan Anjakan Pertama iaitu menyediakan kesemarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

Ini dilakukan dengan meluaskan program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Peningkatan kemahiran Bahasa Inggeris juga dilakukan dengan memastikan semua 70,000 guru bahasa tersebut lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Peluasan pendedahan kemahiran berbahasa juga dilakukan dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

Bagi memastikan pelaksanaan pendekatan pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi guru-guru akan terus didedahkan kaedah pengajaran yang berpusatkan kepada pelajar. Aktiviti yang menyeronokkan dan menarik minat pelajar seperti main peranan, lakonan, syarahan, debat, forum, simulasi, perbincangan, tugasan luar bilik darjah dan kerja dalam kumpulan kecil akan menggalakkan murid sentiasa berfikir dan berusaha meningkatkan daya pemikiran mereka.

Sementara itu Anjakan Ketujuh iaitu memanfaatkan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran adalah berkait rapat dengan usaha meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi. Perbelanjaan yang besar diperlukan untuk meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya.

Ini akan dilakukan melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi semua 10,000 buah sekolah. Dengan adanya akses kepada rangkaian 4G di sekolah maka landasan untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif akan dapat dilaksanakan.

Aspek kedua bagi menjayakan PPP ialah melengkapkan infrastruktur sekolah. Kemudahan yang baik disediakan di sekolah akan membolehkan guru menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan.

Bajet 2013 telah menyediakan peruntukan besar iaitu sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan, Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah.

Peruntukan ini akan digunakan bagi keperluan seperti membaikpulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

Bagi memastikan infrastruktur sekolah dapat disempurnakan terutama sekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman maka kerajaan telah memberikan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion lagi. Ini bermakna bagi tujuan meningkatkan keupayaan infrastruktur sekolah sebanyak RM2 bilion telah disediakan.

Di samping itu Tabung Khas pula diwujudkan iaitu peruntukan sebanyak RM400 juta daripada RM2 bilion itu akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan dan RM100 juta lagi diperuntukkan kepada setiap aliran sekolah lain iaitu SRJK(C), SRJK(T), sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah berasrama penuh.

Aspek ketiga yang penting bagi menjayakan PPP 2013-2025 ialah memastikan keberkesanaan pelaksanaan dan pemantauan. Dalam majlis pelancaran PPP yang lalu, Perdana Menteri menekankan bahawa perancangan yang nampak cantik dan lengkap belum menjanjikan kejayaan tanpa penekanan kepada aspek pemantauan dan diikuti penilaian serta penambahbaikan.

Oleh itu dalam Bajet 2013 Perdana Menteri mencadangkan penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan bertujuan memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi tersebut. Pelaksanaannya boleh menggunakan peruntukan tambahan RM500 juta yang turut digunakan dalam meningkatkan kemahiran guru.

Aspek pelaksanaan dan pemantauan ini ada dinyatakan dalam PPP melalui Anjakan Keenam iaitu pengupayaan serta memperkasakan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Peranan mereka bukan sahaja untuk menyelesaikan isu berasaskan keperluan seperti menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus, Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan tetapi juga memastikan semua perancangan yang telah disediakan dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

Penambahan pegawai dan kakitangan di JPN dan PPD diperlukan untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diberikan di samping mendapat latihan yang bersesuaian. Keberkesanan Unit ini adalah indikator kepada kejayaan PPP 2013-2025.

Sesungguhnya Bajet 2013 yang bertemakan ‘Memakmurkan Negara, Mensejahterakan Rakyat, Sebuah Janji Ditepati itu menyediakan keperluan transformasi pendidikan selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 bagi memacu peningkatan kualiti pendidikan negara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on December 2, 2012 by in Budget 2013.
%d bloggers like this: