EKSPRESI11

Blog Kewartawanan

BAJET 2013: PELABURAN PEMANGKIN PERTUMBUHAN EKONOMI NEGARA

Oleh: Chew Chee Yan (204532)

Pelaburan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan ekonomi Malaysia. Ia memastikan pembangunan dan pengembangan keupayaan negara yang produktif adalah berterusan bagi pembangunan ekonomi pada masa hadapan. Sektor awam memainkan peranan penting sebagai penyokong keseluruhan manakala perbelanjaan modal sektor swasta merupakan kunci untuk menambahkan dan meningkatkan modal bagi memacu prestasi pelbagai sektor dalam ekonomi.

Dua perubahan nyata dapat diperhatikan daripada trend pelaburan pada dekad yang kebelakangan ini. Pertama, kepelbagaian dalam perbelanjaan pelaburan meningkat merentas pelbagai sektor ekonomi. Kedua, lebih banyak perbelanjaan modal telah disalurkan kepada projek yang nilai ditambahnya lebih tinggi, berintensif teknologi merentas sektor ekonomi yang berbeza.

Berikutan prospek ekonomi yang positif ini, pertumbuhan dalam pelaburan swasta dijangka berterusan dengan sumbangan daripada pelabur dalam negeri dan pelabur asing. Yang penting, aktiviti pelaburan yang kukuh akan semakin didorong oleh perbelanjaan modal dalam bidang-bidang yang diberi tumpuan dalam pembentangan bajet kali ini, seperti sektor minyak dan gas, pertanian dan perkhidmatan kewangan. Perkembangan ini bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka pendek, tetapi yang lebih penting, membina asas untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia pada masa hadapan.

Bajet 2013 yang bertemakan “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati” menyaksikan sokongan yang menggalakan dalam aktiviti pelaburan di Malaysia. Antara yang diberi tumpuan adalah menjadikan Malaysia sebagai hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia. Insentif cukai dan insentif bukan cukai yang istimewa akan diberikan kepada pengusaha swasta dalam meningkatkan penglibatan dalam pembangunan industri minyak dan gas. Insentif yang diberikan ini yakin mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan pelaburan dari dalam dan luar negara.

Kerajaan juga telah memberi keutamaan untuk membangunkan usahawan-usahawan bumiputera dalam pelbagai bidang yang mempunyai daya saing yang tinggi ke arah pengekalan pertumbuhan ekonomi negara. Dana Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera yang bernilai RM 1 bilion akan diberi bagi membantu PKS tempatan untuk berkembang dan meningkatkan pegangan ekuiti.

PKS adalah penting dalam proses perkembangan ekonomi dan usahawan-usahawan PKS memainkan peranan yang penting dalam rangkaian pengeluaran negara. Sememangnya, PKS berpotensi memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi dan boleh menyediakan asas yang kukuh dalam menjana pertumbuhan industri baru sementara mengukuhkan industri yang ada, untuk pertumbuhan ekonomi masa depan negara. Bagi memperkembangkan Industri Halal pula, dana sebanyak RM 200 juta juga diperuntukkan bagi membiayai modal kerja PKS terlibat dalam membangunkan produk halal berimpak tinggi untuk tujuan eksport.

Pasaran bon dan sukuk turut mendapat perhatian kerana mendapat tambahan modal Danajaminan sebanyak RM 400 juta. Pemberian insentif kepada pihak yang mengeluarkan AgroSukuk, sukuk runcit dan bon runcit juga akan merancakkan lagi pasaran modal, khususnya pasar modal Islam sebagai alternatif untuk mendapatkan dana kos yang lebih kompetitif. Selain itu, ia dianggap sebagai nafas baru kepada segmen pertanian negara untuk berkembang dengan lebih rancak lagi. Untuk lebih merancakkannya lagi, program kesedaran dan pendidikan pelaburan sukuk atau bon ini perlu diperluaskan ke seluruh negara melalui agensi yang sedia ada.

Antara peruntukan lain bagi aktiviti pelaburan yang dibentangkan dalam Bajet 2013 adalah Dana Strategik Pelaburan Domestik sebanyak RM 1 bilion untuk pemyumberan luar dan pemerolehan teknologi, skim perlindungan insurans kepada 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil, had perlindungan di bawah insurans penjaja sebanyak RM 5,000 sekiranya berlaku kemalangan diri, hilang upaya atau kematian serta peruntukan sebanyak RM 350 juta di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk usahawan kecil memula dan memajukan perniagaan.

Segala rangsangan aktiviti pelaburan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan ini diharapkan dapat menjana keuntungan terhadap pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka masa yang panjang. Dana yang diperuntukkan dalam pelaburan negara untuk Bajet 2013 mungkin tidak akan dilihat kesannya dalam masa yang terdekat, namun pelaburan ini yakin mampu memacu prestasi ekonomi negara ke arah yang lebih baik.

Melalui peruntukan dana oleh kerajaan juga, tindakan ini menggalakkan lebih ramai orang untuk melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan terutamanya PKS. Apabila semakin ramai yang terlibat dalam aktiviti pelaburan ini, maka ia dapat menjamin pertumbuhan ekonomi negara yang pesat.

Melangkah ke hadapan, dengan kombinasi dasar yang menyokong pertumbuhan yang bersesuaian, pakej insentif yang menarik dan langkah-langkah liberalisasi, serta persekitaran luaran yang memberangsangkan, pelaburan swasta dijangka menjadi pemangkin penting bagi pertumbuhan dan transformasi Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan nilai ditambah yang tinggi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Information

This entry was posted on December 9, 2012 by in Budget 2013.
%d bloggers like this: